top of page
Search
Writer's pictureChe Aidil Erfan

Jangan Ghanimahkan Lantikan Politik

Updated: Apr 22, 2020


*Sumber Gambar: malaymail.com


Semua sedia maklum, kini seantero dunia mempunyai hanya satu musuh yang perlu ditewaskan dengan segera, iaitu COVID19. Uniknya di Malaysia, negara ini mempunyai satu lagi musuh yang hendak ditewaskan dengan segera, menjadikan ianya dua fokus yang perlu diselesaikan iaitu COVID19 dan lantikkan politik.


Perkara ini mula menjadi hangat seiring dengan hangatnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila beberapa pihak daripada Perikatan Nasional (PN) mendesak individu-individu yang telah dilantik mengepalai agensi-agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui lantikan politik semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) untuk segera berundur atau dipecat[i].

Sedih, sepatutnya fokus semua pihak tidak kira latar belakang politik hanya perlu menentang COVID19 dan menyelesaikan masalah rakyat yang terjejas akibat PKP. Maka beberapa siri pemecetan telah dilaksanakan antaranya pemecatan kesemua Ahli Lembaga Majlis Amanah Rakyat (MARA)[ii], pemberhentian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF)[iii], pemecatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)[iv] dan banyak lagi.


Turut tidak terkecuali, Kementerian Wilayah juga sedang melakukan proses penukaran kesemua ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di Kuala Lumpur[v], yang dipercayai dilantik melalui lantikan politik semasa pemerintahan PH[vi]. Perkara ini sudah semestinya akan menjejaskan pengagihan bantuan kepada rakyat oleh MPP di tengah-tengah penularan wabak COVID19 dan sinergi mereka dengan Ahli Parlimen tempatan. Paling tidak pun tunggulah lepas keadaan negara ini kembali pulih daripada COVID19.


Mungkin, memang menjadi kelaziman atau kebiasaan sesebuah kerajaan melakukan lantikan politik terhadap individu-individu tertentu ataupun ahli parlimen ke dalam sektor-sektor berkaitan kerajaan. Tujuannya murni, untuk memastikan sektor-sektor ini mencapai piawaian mereka yang selari dengan dasar dan polisi kerajaan[vii]. Namun menjadi luar kebiasaan sekiranya kesemua ahli parlimen kerajaan dilantik untuk mengetuai GLC!


Tidak pernah lagi sejak kita Merdeka, perkara seperti ini berlaku. Lebih malang, ianya secara terang-terangan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen, Datuk Takiyuddin Hassan kepada media. Semua ahli parlimen yang tidak memegang mana-mana jawatan dalam kabinet akan dilantik mengetuai GLC[viii].


Datuk Takiyuddin Hassan

* Sumber Gambar : inforakyat.net


KERISAUAN


Perkara pertama yang amat merisaukan berkaitan kenyataan ini adalah masih terdapat beberapa ahli parlimen dalam blok kerajaan yang sedang menjalani prosiding mahkamah berkaitan kes-kes pecah amanah, rasuah dan penyelewangan.


Antaranya Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak[ix], Dato’ Sri Zahid Hamidi[x], Datuk Seri Tengku Adnan[xi] ,Dato Sri Bung Moktar Radin[xii] dan beberapa lagi ahli parlimen. Walaupun mereka belum dijatuhkan hukuman dan didapati bersalah, kredibiliti mereka boleh dipersoalkan, apatah lagi jika mereka dilantik ke GLC pada masa hadapan. Lebih ironi, bagaimana perkara ini mampu bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri yang mahu membina kerajaan yang bersih[xiii].

Kekhuatiran ini juga berasas kerana sebelum ini Tan Sri Isa Samad, bekas pemimpin tertinggi UMNO yang didapati bersalah kerana melakukan rasuah ketika pemilihan UMNO pada tahun 2004[xiv], kembali sekali lagi terkait dengan kes rasuah selepas memegang jawatan sebagai pengerusi Felda beberapa tahun lalu[xv]. Perkara ini sudah pasti akan menimbulkan kegusaran kerana rakyat tidak mahu pisang berbuah dua kali.


Tan Sri Isa Samad didakwa di mahkamah atas tudahan pecah amanah dan menerima rasuah berjumlah lebih RM 3 Juta

* Sumber Gambar : Astro Awani


Jika Datuk Takiyuddin Hassan mengatakan semua ahli parlimen kerajaan layak untuk memegang semua jawatan GLC, penulis bahkan orang ramai juga berpendapat lebih ramai yang lagi layak daripada ahli parlimen, seperti individu-individu teknokrat yang berpengalaman luas. Setakat ukuran PhD sahaja tidak cukup untuk memberikan amanah ini.


Tidak salah kalau kerajaan melantik seorang dua ahli parlimen yang berkepakaran memegang posisi tertinggi di dalam GLC ataupun melantik beberapa orang ahli dalam parti pemerintah yang bukan ahli parlimen[xvi]. Pelantikan ini juga sepatutnya perlu menterjemahkan komposisi sebenar rakyat Malaysia tanpa dimonopoli oleh sesuatu kaum sahaja[xvii]. Namun demikian, agak musykil kenapa perlu diberikan jawatan ini kepada semua ahli parlimen kerajaan.


IBARAT RASUAH


Tidak kurang juga ada sesetengah pihak malah penganalisis politik melihat isu ini sebagai langkah untuk mengukuhkan kerajaan PN pada hari ini[xviii]. Pelantikan ini juga dilihat sebagai habuan untuk mereka yang menjayakan Langkah Sheraton dan juga dibuat untuk mengelakkan mereka daripada mengalihkan sokongan sekiranya undi tidak percaya terhadap kerajaan diusulkan di parlimen.


Sekiranya benar lantikan politik ini dibuat atas dasar tersebut, ianya sama sahaja seperti jenayah rasuah, memberi “ghanimah” kepada yang berjaya menyertai perang. Maka rakyat akan menghukum pada akhirnya.


Apa yang ditentang oleh pihak pembangkang dalam isu ini bukanlah menuntut PN menunaikan janji PH, sebaliknya, menuntut mereka untuk kekal dengan prinsip mereka. Hal ini kerana, salah satu parti kompenen PN, iaitu PAS pada awalnya berpendirian untuk tidak melantik ahli-ahli politik ke dalam jawatan GLC.


Dalam ucapan bekas Ahli Parlimen Temerloh, YB Tuan Haji Nasrudin bin Hasan di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen ke-13 yang lalu, beliau meluahkan rasa kebimbangan terhadap lantikan sedemikian dan bersetuju dengan saranan Lembaga Penasihat SPRM di mana sesuatu lantikan itu perlulah 100% tidak melibatkan ahli politik.[xix] Namun, hari ini lain pula pendirian mereka.


Ya, mungkin PH yang memungkiri janji mereka untuk tidak melantik mana-mana individu ke dalam sektor berkaitan kerajaan melalui lantikan politik. Namun demikian, sekurang-kurangnya mereka cuba mengubah tradisi ini apabila mantan Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq menetapkan agar pengarah majlis sukan di peringkat negeri tidak dilantik daripada mana-mana pemimpin politik[xx].


* Sumber Gambar : Astro Awani


HARAPAN


Sekiranya lantikan ini diteruskan juga, diharapkan agar ahli parlimen yang dilantik dapat benar-benar melakukan tanggungjawab untuk mencapai dasar, polisi dan piawaian kerajaan. Terutama sekali untuk sektor GLC yang fokusnya terhadap pembangunan bumiputera. Jangan hanya berteriak melaungkan nasib bumiputera, tetapi isu jurang ekonomi dalam kalangan bumiputera masih melebar tanpa ada iltizam dan langkah yang komprehensif untuk memulihkannya[xxi]. Jangan sekali-lali men”ghanimah”kan lantikan politik ini.


Akhirnya, tugas seorang ahli parlimen yang hakiki adalah untuk menjadi badan yang bertanggungjawab dalam menggubal undang-undang dan membantu membentuk polisi kerajaan. Memberikan jawatan GLC kepada semua ahli parlimen dikhuatiri seakan-akan melihatkan pemberian ghanimah kepada “penyelamat” sesebuah pihak dan “membeli tiang-tiang pengukuh”, malah dikhuatiri akan ada segelintir yang cuba memenuhkan kantung mereka masing-masing tanpa memikirkan nasib rakyat. Diharapkan agar kerajaan melakukan pertimbangan yang sewajarnya sebelum perkara ini dilaksanakan.

**Che Aidil Erfan, merupakan Ahli Parlimen Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan aktivis belia.


RUJUKAN

[i] Segera Gugurkan Lantikan Politik PH Dalam GLC – Dr Najmil. Retrieved from https://umno-online.my/2020/04/08/segera-gugurkan-lantikan-politik-ph-dalam-glc-dr-najmil/ [ii] Laporan: Kerajaan tamatkan khidmat pengerusi Mara. Retrieved from https://www.malaysiakini.com/news/515290 [iii] Alyaa Alhadjri( 2020, April 15). Shahul Hameed dilantik CEO baru HRDF. Retrieved from https://www.malaysiakini.com/news/520661 [iv] Norlaile Abd Rahman. (2020, April 13). GLC: Lantikan hanya untuk beli sokongan ahli Parlimen. Retrieved from https://malaysiagazette.com/2020/04/13/glc-lantikan-hanya-untuk-beli-sokongan-ahli-parlimen/ [v] Nurhidayah Hairom (2020, Mac 26). MPP Wilayah Persekutuan distruktur semula kerana tidak aktif. Retrieved from https://www.sinarharian.com.my/article/75741/BERITA/Nasional/MPP-Wilayah-Persekutuan-distruktur-semula-kerana-tidak-aktif [vi] Temu bual oleh Ahli Parlimen Belia bersama salah seorang pengurus cawangan DBKL ketika melakukan kunjungan hormat [vii] Patarino, A. (2020). Not So Plum:The Shortcomings of the Plum Book and Tracking Political Appointments. Harvard Kennedy School Review, Volume XIX, 161-165. Retrieved from https://web-b-ebscohost-com.ezlib.iium.edu.my/ehost/pdfviewer/pdfviewer?vid=1&sid=af501f92-aad7-4d5d-8cee-edbac4ad2249%40pdc-v-sessmgr04 [viii] Muhafandi Muhamad. (2020, April 13). Anggota Parlimen Kerajaan bukan menteri akan dilantik pengerusi GLC – Takiyuddin. Retrieved from http://www.astroawani.com/berita-politik/anggota-parlimen-kerajaan-bukan-menteri-akan-dilantik-pengerusi-glc-takiyuddin-238055 [ix] V Anbalagan (2019, December 26). 5 kes di mahkamah, 2020 Najib dijangka terus curi tumpuan. Retrieved from https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/12/26/5-kes-di-mahkamah-2020-najib-dijangka-terus-curi-tumpuan/ [x] Farah Marshita Abdul Patah. (2019, Jun 26). Zahid didakwa 7 tuduhan terima rasuah S$4.2 juta. Retrieved from https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/06/578174/zahid-didakwa-7-tuduhan-terima-rasuah-s42-juta [xi] Fatin Hafizah Mohd Shahar. (2019, October 14). Ku Nan diarah bela diri tuduhan rasuah RM2 juta. Retrieved from https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/10/617371/ku-nan-diarah-bela-diri-tuduhan-rasuah-rm2-juta [xii] Siti Nurazlinee Azmi. (2019, September 20). Perbicaraan kes rasuah Bung Moktar, isteri bermula Januari 2020. Retrieved from https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/09/609000/perbicaraan-kes-rasuah-bung-moktar-isteri-bermula-januari-2020 [xiii] Muzliza Mustafa. (2020, Mac 2). Perdana Menteri Baru Mahu Selamatkan Malaysia, Janji Kerajaan Bersih. Retrieved from https://www.benarnews.org/malay/berita/my-muhyiddin-live-200302-03022020110815.html [xiv] Rasuah politik: Saya sudah jalani hukuman, kata Isa. Retrieved from https://www.malaysiakini.com/news/113860 [xv] Isa Samad didakwa hari ini berkaitan kes pembelian hotel oleh FIC. Retrieved from https://www.utusanborneo.com.my/2018/12/14/isa-samad-didakwa-hari-ini-berkaitan-kes-pembelian-hotel-oleh-fic [xvi] Patarino, A. (2020). Not So Plum:The Shortcomings of the Plum Book and Tracking Political Appointments. Harvard Kennedy School Review, Volume XIX, 161-165. Retrieved from https://web-b-ebscohost-com.ezlib.iium.edu.my/ehost/pdfviewer/pdfviewer?vid=1&sid=af501f92-aad7-4d5d-8cee-edbac4ad2249%40pdc-v-sessmgr04 [xvii] Dr Muzaffar Syah Mallow. (2020, Mac 1) Kerajaan baru perlu wakili semua kaum. Retrieved from http://www.astroawani.com/berita-politik/kerajaan-baru-perlu-wakili-semua-kaum-232206 [xviii] Robin Augustin. (2020, April 10). Ahli politik dijangka kembali ketuai GLC, kata penganalisis. Retrieved from https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/04/10/ahli-politik-dijangka-kembali-ketuai-glc-kata-penganalisis/ [xix] Khalid Samad- Lantikan Politik Ketuai GLC. Retrieved from https://www.facebook.com/watch/?v=849704748837911 [xx] Tak lantik pemimpin parti politik. Retrieved from https://www.hmetro.com.my/arena/2018/08/365844/tak-lantik-pemimpin-parti-politik [xxi] Muhammed Abdul Khalid. (2017). Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia. Bangi, Selangor: DuBook Press Sdn. Bhd

66 views1 comment

1 Comment


Alif Mustaqim
Alif Mustaqim
Apr 22, 2020

informatif. teruskan konsisten menulis, walaupun postingan pendek.

Like
bottom of page